Merempit
Merempit merupakan istilah yang
merujuk kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram. Mat
rempit kebiasaannya beraksi pada waktu tengah malam atau awal-awal pagi malah
mereka sering dikaitkan dengan kes gengsterism dan pergaduhan. Aksi berani mat
rempit di jalan raya secara tidak langsung membahayakan pengguna jalan raya
yang lain.
Kes rempit banyak berlaku di kawasan
bandar di mana jalan-jalan yang luas terbentang menjadi pilihan mat-mat rempit
untuk berlumba haram. Aktiviti merempit ini biasanya mengaitkan wang atau gadis
sebagai taruhan mereka.
AKSI REMPIT
AKIBAT REMPIT |
Faktor-Faktor Mengakibatkan Aktiviti Merempit
Gejala merempit berlaku disebabkan
banyak faktor baik faktor luaran mahupun faktor dalaman. Faktor luaran
termasuklah pengaruh rakan sebaya. Remaja sanggup melakukan apa sahaja demi
menampakkan diri mereka sama dengan rakan-rakan mereka. Jadi, sekiranya rakan
mereka merempit, remaja tidak teragak-agak untuk turut merempit agar mereka
dilihat setaraf dengan rakan mereka. Faktor kurangnya didikan agama turut
menyumbang kepada peningkatan kes rempit di negara kita. Didikan agama amat
penting supaya mereka dapat membezakan perkara yang baik dan perkara yang buruk
dengan lebih sempurna.
Faktor dalaman pula dikaitkan dengan
desakan naluri remaja itu sendiri yang ingin mencuba perkara baru. Sudah
menjadi fitrah remaja di mana mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang sangat
mendalam malah mereka ingin nampak hebat di mata rakan-rakan mereka. Remaja
juga mahu mengejar keseronokan demi menghilangkan tekanan hidup dengan
mempamerkan aksi-aksi berbahaya.
Kesan-Kesan Merempit
Antara kesan yang dibawa oleh gejala
merempit terhadap masyarakat ialah keruntuhan akhlak ahli masyarakat. Hal ini
demikian kerana gejala merempit selalu dikaitkan dengan pergaulan bebas dan
perbuatan maksiat kerana lazimnya perempuan dijadikan hadiah kepada pemenang
lumba haram. Selain itu, aktiviti perjudian turut berleluasa.
Kesan kepada negara pula ialah
peningkatan kes jenayah di dalam negara. Mat rempit yang kalah dalam perlumbaan
akan kalah dalam perjudian secara serentak. Oleh yang demikian, mat rempit yang
dikelilingi hutang akan melakukan jenayah seperti merompak bank, mencuri dan pecah
rumah. Ini mengakibatkan kes jenayah semakin meningkat dan menimbulkan
tanggapan negatif negara luar terhadap Malaysia.
Inisiatif untuk Membendung Gejala
Merempit
Sungguhpun merempit bawa banyak kesan
namun terdapat inisiatif yang boleh diambil untuk membanteras gejala ini.
Antaranya ialah ibu bapa memberi sepenuh perhatian kepada anak-anak malah
memantau pergerakan anak-anak serta rakan-rakan mereka. Tindakan ini tidak
bertujuan untuk mengongkong anak-anak tetapi sebagai langkah berjaga-jaga
kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Langkah lainnya ialah penguatkuasaan
undang-undang yang lebih tegas. Hukuman terhadap mat rempit perlu diberatkan lagi
untuk memberi pengajaran kepada mereka agar tidak melakukan perkara sedemikian
lagi. Pihak kerajaan perlu menyediakan tempat untuk mereka berlumba motosikal
supaya jalan-jalan raya tidak dijadikan trek lumba mereka. Malahan bakat mereka
dapat diasah sedikit demi sedikit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan