BNK Ambilan Jun 2015

BNK Ambilan Jun 2015

Ahad, 6 September 2015

ISU KESANTUNAN : PENDERAAN KANAK-KANAK

Penderaan Kanak-Kanak
        Penderaan kanak-kanak adalah satu pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Jika dikaji semula, kes penderaan kanak-kanak lazimnya berlaku di rumah-rumah asuhan. Namun tidak dapat dinafikan bahawa penderaan kanak-kanak turut berlaku di rumah sendiri yang di lakukan oleh segelintir ibu bapa atau penjaga. Malah menurut Sinar Online bertarikh 19 Ogos 2013, sebanyak 3 900 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan pada tahun 2012 dan sehingga Mac 2013, sebanyak 1000 kes telah dilaporkan.

           Faktor Berlakunya Penderaan Kanak-Kanak

       Terdapat banyak faktor menyumbang kepada penderaan kanak-kanak. Antaranya ialah krisis rumah tangga yang berlaku. Oleh sebab suasana rumah tangga yang tidak harmoni, ibu bapa masing-masing mengalami tekanan perasaan atau gangguan emosi. Jadi, anak-anak menjadi tempat untuk mereka melepaskan geram. Anak-anak yang tidak bersalah dengan tidak semena-menanya dipukul walaupun mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana ibu atau bapa hilang pertimbangan dan tidak dapat berfikiran dengan rasional.
        Faktor berikutnya ialah pengaruh alkohol. Seperti yang diketahui, pengambilan alkohol secara kerap dan berlebihan akan menjejaskan fungsi otak seseorang itu. Oleh yang demikian, ibu bapa atau penjaga yang berada di bawah pengaruh alkohol, akan bertindak di luar kawalan kerana mereka tidak dapat berfikir dengan waras ketika mabuk termasuklah mencederakan kanak-kanak yang tidak bersalah. Faktor stres juga tidak dapat diketepikan. Ibu bapa yang stres dengan bebanan kerja ditambah pula dengan kerenah anak-anak yang pelbagai ragam, berkemungkinan menjadi lebih sensitif dan mudah melenting sehingga mampu bertindak agresif terhadap anak-anak.

                     Kesan-Kesan Penderaan Kanak-Kanak

        Penderaan kanak-kanak mampu meninggalkan kesan yang mendalam pada diri kanak-kanak, masyarakat dan juga negara. Antara kesan penderaan kanak-kanak terhadap masyarakat ialah lahirnya masyarakat yang pendendam. Hal ini demikian kerana kanak-kanak yang didera akan menyimpan dendam terhadap penderanya dan bertindak mendera orang lain untuk membalas dendam. Kesan seterusnya ialah masyarakat sekeliling hidup dalam kesangsian kerana mereka curiga terhadap pengasuh yang diupah untuk menjaga anak mereka sehingga berlaku pergaduhan.
       Kesan terhadap negara pula ialah keselamatan negara tergugat kerana peningkatan kes jenayah yang dilakukan oleh pemuda negara. Sudah terang lagi bersuluh kanak-kanak yang pernah didera akan membesar menjadi remaja yang bermasalah sebagai tanda pemberontakan mereka terhadap pendera.

                     Langkah untuk Mengatasi Penderaan Kanak-Kanak

        Sesungguhnya, banyak langkah yang boleh diambil untuk mengatasi penderaan kanak-kanak daripada terus berlaku seperti perlaksanaan program keibubapaan untuk ibu bapa atau penjaga yang disabitkan kesalahan mendera kanak-kanak supaya mereka dapat membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang.

       Selain itu, majikan perlu menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk para pekerjanya agar mereka dapat mengatasi tekanan kerja yang dihadapi sekaligus mengelakkan mereka daripada melepaskan tekanan mereka terhadap anak-anak dan kes penderaan kanak-kanak dapat dikurangkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan