Pemerdagangan
Manusia
Pemerdagangan
manusia dapat diertikan sebagai satu jenayah terancang yang melanggar hak asasi
dan etika masyarakat. Pemerdagangan manusia merupakan industri jenayah yang
pantas dan terlaris di dunia apabila keuntungan tahunan yang mampu diperoleh mencecah
antara 5 hingga 42 bilion dollar Amerika. Malah, Pertubuhan Bangsa Bersatu
(PBB) menganggarkan hampir 2.5 juta manusia dari 127 buah negara telah
diperdagangkan. Secara umumnya, pemerdagangan manusia melibatkan perbuatan
merekrut, memindah dan menyimpan manusia dengan tujuan untuk melakukan eksploitasi
tertentu seperti pelacuran.
Berdasarkan
statistik pada tahun 2012, kes pemerdagangan manusia paling banyak berlaku di
Eropah dengan catatan lebih kurang 1 800 kes dan diikuti pula dengan 1 700 kes
di Selatan Asia. Isu pemerdagangan sering berlaku di kawasan tumpuan ramai
seperti kawasan bandar. Di Malaysia pula, pemerdagangan manusia banyak berlaku
di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara lain untuk memudahkan urusan
mengeksploitasi.
Faktor-Faktor Berlakunya Pemerdagangan Manusia
Pemerdagangan manusia yang semakin
menular di dalam masyarakat Malaysia berlaku disebabkan beberapa faktor.
Antaranya ialah faktor kemiskinan. Kebanyakan mangsa berasal daripada keluarga
yang miskin dan mempunyai banyak tanggungan. Kedaifan hidup yang dihadapi,
memaksa mereka untuk mencari kerja bagi menampung kehidupan keluarga namun peluang
pekerjaan yang semakin terhad menjadikan mereka terdesak untuk mendapatkan
pekerjaan sehingga mereka termakan dengan kata-kata para pedagang manusia yang
menjanjikan pekerjaan dengan gaji yang lumayan kepada mereka.
Faktor lainnya ialah faktor
permintaan global terhadap perkhidmatan dan buruh murah. Kemunculan dunia tanpa
sempadan dengan adanya internet mengakibatkan pemerdagangan manusia semakin
menjadi-jadi. Hal ini demikian kerana melalui internet, kumpulan-kumpulan
jenayah ini boleh merekrut, memasarkan dan mengeksploitasi mangsa-mangsa
perdagangan dengan mudah di seluruh dunia di samping mendapat keuntungan yang
berlipat kali ganda. Hal ini secara tidak langsung telah meningkatkan kes
pemerdagangan manusia di dunia.
Kesan-Kesan Pemerdagangan Manusia
Isu pemerdagangan
manusia mendatangkan banyak kesan termasuk pada masyarakat, negara malahan pada
diri mangsa sendiri. Kesan pemerdagangan manusia pada masyarakat ialah
masyarakat sejagat hidup dalam belenggu kerisauan kerana keselamatan diri dan
keluarga terdedah dengan ancaman. Kesan lainnya ialah masalah sosial meningkat
dalam masyarakat kerana jenayah pelacuran semakin berleluasa kerana kebanyakan mangsa
dijadikan hamba seks.
Selain
daripada itu, keselamatan negara terancam ekoran banyak kemasukan warga asing
yang diseludup dan didagangkan. Di samping itu, nama baik negara terjejas
kerana berlaku banyak jenayah yang melibatkan mangsa pemerdagangan malahan
pelancong dari negara luar berkurangan kerana mereka berasa tidak selamat.
Pertumbuhan ekonomi negara juga akan terganggu apabila banyak wang digunakan
untuk membendung isu pemerdagangan manusia daripada terus meningkat.
Langkah untuk Mengatasi Pemerdagangan
Manusia
Realitinya, banyak langkah boleh
diambil untuk mengatasi isu ini dengan kerjsama semua pihak. Antara langkahnya
ialah kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengetatkan kawalan kemasukan pelancong
asing serta mengawal semua 262 pintu masuk ke sempadan negara yang dipercayai antara
penyumbang kepada pemerdagangan manusia. Selain itu, kerjasama yang kukuh
antara Malaysia dengan negara-negara jiran adalah amat penting untuk menjamin
keselamatan negara yang lebih baik.
Langkah seterusnya ialah gejala rasuah
yang berlaku di badan-badan penguat kuasa seperti imigresen, kastam dan
organisasi lain perlu dibanteras sepenuhnya. Dengan mansuhnya gejala rasuah
ini, isu pemerdagangan manusia di Malaysia dapat dikurangkan dan diatasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan