BNK Ambilan Jun 2015

BNK Ambilan Jun 2015

Ahad, 6 September 2015

ISU KESANTUNAN : PENYALAHGUNAAN DADAH

Penyalahgunaan Dadah
       Dadah didefinisikan sebagai bahan kimia yang amat merbahaya kepada individu yang menggunakannya kerana ia mengubah cara minda dan tubuh manusia berfungsi. Penyalahgunaan dadah sebagai pengambilan apa sahaja jenis dadah kebiasaannya melalui self-administration yang menyimpang daripada kegunaan yang dibenarkan oleh perubatan dan pola sosial dalam lingkungan sesuatu budaya (Macdonald, 1989).
        Menurut statistik tahun 2012, Kuala Lumpur telah mencatatkan jumlah penagih dadah yang paling tinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia iaitu sebanyak 916 orang dan jumlah tersebut kian meningkat. Penagih dadah dilihatkan banyak terdapat di kawasan bandar berbanding kawasan luar bandar mungkin kerana bekalan dadah lebih mudah didapati di kawasan bandar
.


          Faktor-Faktor Mengakibatkan Penyalahgunaan Dadah

         Kekurangan perhatian dan kasih sayang merupakan salah satu faktor mengakibatkan penyalahgunaan dadah. Hal ini berlaku apabila anak-anak berasa diabaikan dan mereka ingin menarik perhatian ibu bapa yang sibuk bekerja dengan melibatkan diri dalam gejala negatif. Pengaruh media massa seperti filem yang menayangkan kelakuan tidak senonoh turut mendorong penglibatan remaja dalam gejala dadah apabila mereka ingin meniru aksi para pelakon yang terlibat dengan dadah dalam filem yang ditonton.
         Faktor berikutnya ialah pengaruh rakan sebaya. Hubungan akrab dengan rakan sebaya yang menagih dadah akan mengakibatkan remaja turut terlibat dengan dadah kerana mereka mahu dilihat sama seperti rakan mereka. Tambahan pula, sikap ingin mencuba yang tebal dalam diri remaja mengakibatkan mereka terlibat dengan gejala dadah tanpa memikirkan baik buruk tindakan mereka.

                      Kesan-Kesan Penyalahgunaan Dadah

        Kesan penyalahgunaan dadah terhadap masyarakat ialah masyarakat menjadi mundur kerana rendahnya taraf pendidikan. Hal ini kerana penyalahgunaan dadah mampu menjejaskan prestasi pelajaran remaja memandangkan dadah boleh merosakkan fungsi otak. Seterusnya ialah keselamatan masyarakat terancam disebabkan kes jenayah yang dilakukan oleh para penagih dadah meningkat. Penagih dadah sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan bekalan dadah termasuklah mencuri, membunuh dan merompak.
        Kesan kepada negara pula ialah negara kekurangan pewaris kepimpinan yang berkualiti. Bak kata pepatah pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara maka apabila ramai remaja terlibat dengan dadah, sedikit sebanyak masa depan negara menjadi kabur. Malah, imej negara negara di mata dunia terjejas kerana jumlah penagih dadah yang meningkat.

                     Langkah-Langkah Mengatasi Penyalahgunaan Dadah

        Antara inisiatif yang boleh dijalankan bagi mengatasi penyalahgunaan dadah ini ialah mengetatkan penguatkuasaan undang-undang mengikut Akta dadah Berbahaya 1995. Hukuman yang setimpal perlu dikenakan ke atas pengedar dadah dan pembuat dadah malahan penagih dadah yang selesai mendapatkan rawatan di pusat-pusat serenti wajar dipantau agar mereka tidak terjebak semula dengan dadah.

        Langkah seterusnya ialah pihak sekolah perlu mengadakan kempen anti-dadah yang efektif sehingga mampu membuka mata para pelajar tentang  bahana dadah. Pemeriksaan kesihatan yang kerap di sekolah untuk semua warga sekolah harus dijalankan bagi mengesan warga sekolah atau pelajar yang terlibat dengan dadah pada peringkat awal dan segera merawatnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan