BNK Ambilan Jun 2015

BNK Ambilan Jun 2015

Ahad, 6 September 2015

TUTORIAL


TUTORIAL 1







                                                                       TUTORIAL 2




TUTORIAL 3






KULIAH 5: STRATEGI BERBAHASA





















ISU KESANTUNAN : GEJALA PONTENG SEKOLAH

Gejala Ponteng Sekolah     
       Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Seseorang pelajar dianggap ponteng apabila tidah hadir ke sekolah atau kelas tanpa sebarang sebab yang dibenarkan. Menurut Kamus Dewan, ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Pelajar yang ponteng sekolah sering dikaitkan dengan gejala sosial yang berlaku seperti vandalisme, pergaduhan dan kecurian.

           Punca-Punca Berlakunya Ponteng Sekolah

        Punca pertama yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah ialah kerana kurangnya minat mereka terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. Dalam hal ini, cara pengajaran guru yang tidak menarik mengakibatakan pelajar berasa bosan dan memilih untuk ponteng kelas. Akhbar berita harian bertarikh 30 September 2013 melaporkan bahawa sikap guru yang tidak disukai oleh pelajar menjadi punca mereka ponteng sekolah. Pemantauan ibu bapa yang lemah juga mendorong pelajar untuk ponteng sekolah kerana pelajar ingin meraih perhatian ibu bapa mereka.
        Punca kedua ialah tekanan ekonomi yang dihadapi oleh pelajar. Pelajar yang datang dari keluarga yang susah beranggapan bahawa bekerja lebih baik daripada belajar kerana mereka dapat meraih wang untuk keluarga tetapi mereka tidak menyedari bahawa dengan pendidikan yang tinggi mereka dapat mengubah nasib keluarga mereka dengan lebih efektif.





                      Kesan-Kesan daripada Ponteng Sekolah

          Ponteng sekolah mendatangkan banyak kesan terhadap individu, masyarakat dan negara. Kesan terhadap masyarakat ialah masyarakat menjadi mundur kerana anggotanya yang kurang berpendidikan. Masyarakat yang mundur akan dipandang rendah oleh orang luar dan tidak dihormati. Kesan seterusnya ialah isu sosial meningkat dalam kalangan masyarakat. Hal ini berlaku apabila pelajar yang ponteng sekolah terlibat dengan kes kecurian, pecah rumah dan gangsterisme.
         Ponteng sekolah turut mendatangkan kesan terhadap negara seperti negara kekurangan tenaga kerja mahir. Rakyat yang tidak berpendidikan  tidak mempunyai kemahiran yang tinggi serta tidak mampu memenuhi keperluan khidmat pakar dalam negara. Hal ini memaksa pihak kerajaan mengupah tenaga kerja mahir yang menelan lebih banyak belanja. Seterusnya, Malaysia akan dipandang serong oleh negara lain kerana dianggap tidak serius dan kurang berpengetahuan.

                     Langkah-Langkah Untuk Mengatasi Gejala Ponteng Sekolah  
                   
Gejala ponteng sekolah boleh diatasi sekiranya ibu bapa memberikan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak agar mereka rasa disayangi dan dihargai. Langkah seterusnya ialah pihak sekolah menggiatkan pemantauan terhadap kehadiran para pelajar dan mengenakan tindakan disiplin yang lebih tegas kepada pelajar yang memonteng. Ketidakhadiran pelajar ke sekolah juga perlu diselidik demi mengelakkan pelajar ponteng sekolah.

Langkah lainnya ialah para guru menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menarik di sekolah contohnya mengadakan PdP di luar kelas setiap 2 minggu supaya pelajar tidak bosan dengan suasana di dalam kelas yang suram. 

ISU KESANTUNAN : REMPIT

Merempit
         Merempit merupakan istilah yang merujuk kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram. Mat rempit kebiasaannya beraksi pada waktu tengah malam atau awal-awal pagi malah mereka sering dikaitkan dengan kes gengsterism dan pergaduhan. Aksi berani mat rempit di jalan raya secara tidak langsung membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
       Kes rempit banyak berlaku di kawasan bandar di mana jalan-jalan yang luas terbentang menjadi pilihan mat-mat rempit untuk berlumba haram. Aktiviti merempit ini biasanya mengaitkan wang atau gadis sebagai taruhan mereka.


                                                           AKSI REMPIT


AKIBAT REMPIT


          Faktor-Faktor Mengakibatkan Aktiviti Merempit

         Gejala merempit berlaku disebabkan banyak faktor baik faktor luaran mahupun faktor dalaman. Faktor luaran termasuklah pengaruh rakan sebaya. Remaja sanggup melakukan apa sahaja demi menampakkan diri mereka sama dengan rakan-rakan mereka. Jadi, sekiranya rakan mereka merempit, remaja tidak teragak-agak untuk turut merempit agar mereka dilihat setaraf dengan rakan mereka. Faktor kurangnya didikan agama turut menyumbang kepada peningkatan kes rempit di negara kita. Didikan agama amat penting supaya mereka dapat membezakan perkara yang baik dan perkara yang buruk dengan lebih sempurna.
        Faktor dalaman pula dikaitkan dengan desakan naluri remaja itu sendiri yang ingin mencuba perkara baru. Sudah menjadi fitrah remaja di mana mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang sangat mendalam malah mereka ingin nampak hebat di mata rakan-rakan mereka. Remaja juga mahu mengejar keseronokan demi menghilangkan tekanan hidup dengan mempamerkan aksi-aksi berbahaya.   

                      Kesan-Kesan Merempit

      Antara kesan yang dibawa oleh gejala merempit terhadap masyarakat ialah keruntuhan akhlak ahli masyarakat. Hal ini demikian kerana gejala merempit selalu dikaitkan dengan pergaulan bebas dan perbuatan maksiat kerana lazimnya perempuan dijadikan hadiah kepada pemenang lumba haram. Selain itu, aktiviti perjudian turut berleluasa.
        Kesan kepada negara pula ialah peningkatan kes jenayah di dalam negara. Mat rempit yang kalah dalam perlumbaan akan kalah dalam perjudian secara serentak. Oleh yang demikian, mat rempit yang dikelilingi hutang akan melakukan jenayah seperti merompak bank, mencuri dan pecah rumah. Ini mengakibatkan kes jenayah semakin meningkat dan menimbulkan tanggapan negatif negara luar terhadap Malaysia.

                     Inisiatif untuk Membendung Gejala Merempit

        Sungguhpun merempit bawa banyak kesan namun terdapat inisiatif yang boleh diambil untuk membanteras gejala ini. Antaranya ialah ibu bapa memberi sepenuh perhatian kepada anak-anak malah memantau pergerakan anak-anak serta rakan-rakan mereka. Tindakan ini tidak bertujuan untuk mengongkong anak-anak tetapi sebagai langkah berjaga-jaga kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

        Langkah lainnya ialah penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas. Hukuman terhadap mat rempit perlu diberatkan lagi untuk memberi pengajaran kepada mereka agar tidak melakukan perkara sedemikian lagi. Pihak kerajaan perlu menyediakan tempat untuk mereka berlumba motosikal supaya jalan-jalan raya tidak dijadikan trek lumba mereka. Malahan bakat mereka dapat diasah sedikit demi sedikit.

ISU KESANTUNAN : PENYALAHGUNAAN DADAH

Penyalahgunaan Dadah
       Dadah didefinisikan sebagai bahan kimia yang amat merbahaya kepada individu yang menggunakannya kerana ia mengubah cara minda dan tubuh manusia berfungsi. Penyalahgunaan dadah sebagai pengambilan apa sahaja jenis dadah kebiasaannya melalui self-administration yang menyimpang daripada kegunaan yang dibenarkan oleh perubatan dan pola sosial dalam lingkungan sesuatu budaya (Macdonald, 1989).
        Menurut statistik tahun 2012, Kuala Lumpur telah mencatatkan jumlah penagih dadah yang paling tinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia iaitu sebanyak 916 orang dan jumlah tersebut kian meningkat. Penagih dadah dilihatkan banyak terdapat di kawasan bandar berbanding kawasan luar bandar mungkin kerana bekalan dadah lebih mudah didapati di kawasan bandar
.


          Faktor-Faktor Mengakibatkan Penyalahgunaan Dadah

         Kekurangan perhatian dan kasih sayang merupakan salah satu faktor mengakibatkan penyalahgunaan dadah. Hal ini berlaku apabila anak-anak berasa diabaikan dan mereka ingin menarik perhatian ibu bapa yang sibuk bekerja dengan melibatkan diri dalam gejala negatif. Pengaruh media massa seperti filem yang menayangkan kelakuan tidak senonoh turut mendorong penglibatan remaja dalam gejala dadah apabila mereka ingin meniru aksi para pelakon yang terlibat dengan dadah dalam filem yang ditonton.
         Faktor berikutnya ialah pengaruh rakan sebaya. Hubungan akrab dengan rakan sebaya yang menagih dadah akan mengakibatkan remaja turut terlibat dengan dadah kerana mereka mahu dilihat sama seperti rakan mereka. Tambahan pula, sikap ingin mencuba yang tebal dalam diri remaja mengakibatkan mereka terlibat dengan gejala dadah tanpa memikirkan baik buruk tindakan mereka.

                      Kesan-Kesan Penyalahgunaan Dadah

        Kesan penyalahgunaan dadah terhadap masyarakat ialah masyarakat menjadi mundur kerana rendahnya taraf pendidikan. Hal ini kerana penyalahgunaan dadah mampu menjejaskan prestasi pelajaran remaja memandangkan dadah boleh merosakkan fungsi otak. Seterusnya ialah keselamatan masyarakat terancam disebabkan kes jenayah yang dilakukan oleh para penagih dadah meningkat. Penagih dadah sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan bekalan dadah termasuklah mencuri, membunuh dan merompak.
        Kesan kepada negara pula ialah negara kekurangan pewaris kepimpinan yang berkualiti. Bak kata pepatah pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara maka apabila ramai remaja terlibat dengan dadah, sedikit sebanyak masa depan negara menjadi kabur. Malah, imej negara negara di mata dunia terjejas kerana jumlah penagih dadah yang meningkat.

                     Langkah-Langkah Mengatasi Penyalahgunaan Dadah

        Antara inisiatif yang boleh dijalankan bagi mengatasi penyalahgunaan dadah ini ialah mengetatkan penguatkuasaan undang-undang mengikut Akta dadah Berbahaya 1995. Hukuman yang setimpal perlu dikenakan ke atas pengedar dadah dan pembuat dadah malahan penagih dadah yang selesai mendapatkan rawatan di pusat-pusat serenti wajar dipantau agar mereka tidak terjebak semula dengan dadah.

        Langkah seterusnya ialah pihak sekolah perlu mengadakan kempen anti-dadah yang efektif sehingga mampu membuka mata para pelajar tentang  bahana dadah. Pemeriksaan kesihatan yang kerap di sekolah untuk semua warga sekolah harus dijalankan bagi mengesan warga sekolah atau pelajar yang terlibat dengan dadah pada peringkat awal dan segera merawatnya.


ISU KESANTUNAN : PENDERAAN KANAK-KANAK

Penderaan Kanak-Kanak
        Penderaan kanak-kanak adalah satu pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Jika dikaji semula, kes penderaan kanak-kanak lazimnya berlaku di rumah-rumah asuhan. Namun tidak dapat dinafikan bahawa penderaan kanak-kanak turut berlaku di rumah sendiri yang di lakukan oleh segelintir ibu bapa atau penjaga. Malah menurut Sinar Online bertarikh 19 Ogos 2013, sebanyak 3 900 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan pada tahun 2012 dan sehingga Mac 2013, sebanyak 1000 kes telah dilaporkan.

           Faktor Berlakunya Penderaan Kanak-Kanak

       Terdapat banyak faktor menyumbang kepada penderaan kanak-kanak. Antaranya ialah krisis rumah tangga yang berlaku. Oleh sebab suasana rumah tangga yang tidak harmoni, ibu bapa masing-masing mengalami tekanan perasaan atau gangguan emosi. Jadi, anak-anak menjadi tempat untuk mereka melepaskan geram. Anak-anak yang tidak bersalah dengan tidak semena-menanya dipukul walaupun mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana ibu atau bapa hilang pertimbangan dan tidak dapat berfikiran dengan rasional.
        Faktor berikutnya ialah pengaruh alkohol. Seperti yang diketahui, pengambilan alkohol secara kerap dan berlebihan akan menjejaskan fungsi otak seseorang itu. Oleh yang demikian, ibu bapa atau penjaga yang berada di bawah pengaruh alkohol, akan bertindak di luar kawalan kerana mereka tidak dapat berfikir dengan waras ketika mabuk termasuklah mencederakan kanak-kanak yang tidak bersalah. Faktor stres juga tidak dapat diketepikan. Ibu bapa yang stres dengan bebanan kerja ditambah pula dengan kerenah anak-anak yang pelbagai ragam, berkemungkinan menjadi lebih sensitif dan mudah melenting sehingga mampu bertindak agresif terhadap anak-anak.

                     Kesan-Kesan Penderaan Kanak-Kanak

        Penderaan kanak-kanak mampu meninggalkan kesan yang mendalam pada diri kanak-kanak, masyarakat dan juga negara. Antara kesan penderaan kanak-kanak terhadap masyarakat ialah lahirnya masyarakat yang pendendam. Hal ini demikian kerana kanak-kanak yang didera akan menyimpan dendam terhadap penderanya dan bertindak mendera orang lain untuk membalas dendam. Kesan seterusnya ialah masyarakat sekeliling hidup dalam kesangsian kerana mereka curiga terhadap pengasuh yang diupah untuk menjaga anak mereka sehingga berlaku pergaduhan.
       Kesan terhadap negara pula ialah keselamatan negara tergugat kerana peningkatan kes jenayah yang dilakukan oleh pemuda negara. Sudah terang lagi bersuluh kanak-kanak yang pernah didera akan membesar menjadi remaja yang bermasalah sebagai tanda pemberontakan mereka terhadap pendera.

                     Langkah untuk Mengatasi Penderaan Kanak-Kanak

        Sesungguhnya, banyak langkah yang boleh diambil untuk mengatasi penderaan kanak-kanak daripada terus berlaku seperti perlaksanaan program keibubapaan untuk ibu bapa atau penjaga yang disabitkan kesalahan mendera kanak-kanak supaya mereka dapat membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang.

       Selain itu, majikan perlu menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk para pekerjanya agar mereka dapat mengatasi tekanan kerja yang dihadapi sekaligus mengelakkan mereka daripada melepaskan tekanan mereka terhadap anak-anak dan kes penderaan kanak-kanak dapat dikurangkan.


ISU KESANTUNAN : PEMERDAGANGAN MANUSIA

Pemerdagangan Manusia
Pemerdagangan manusia dapat diertikan sebagai satu jenayah terancang yang melanggar hak asasi dan etika masyarakat. Pemerdagangan manusia merupakan industri jenayah yang pantas dan terlaris di dunia apabila keuntungan tahunan yang mampu diperoleh mencecah antara 5 hingga 42 bilion dollar Amerika. Malah, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan hampir 2.5 juta manusia dari 127 buah negara telah diperdagangkan. Secara umumnya, pemerdagangan manusia melibatkan perbuatan merekrut, memindah dan menyimpan manusia dengan tujuan untuk melakukan eksploitasi tertentu seperti pelacuran.
Berdasarkan statistik pada tahun 2012, kes pemerdagangan manusia paling banyak berlaku di Eropah dengan catatan lebih kurang 1 800 kes dan diikuti pula dengan 1 700 kes di Selatan Asia. Isu pemerdagangan sering berlaku di kawasan tumpuan ramai seperti kawasan bandar. Di Malaysia pula, pemerdagangan manusia banyak berlaku di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara lain untuk memudahkan urusan mengeksploitasi.



Faktor-Faktor Berlakunya Pemerdagangan Manusia
        Pemerdagangan manusia yang semakin menular di dalam masyarakat Malaysia berlaku disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah faktor kemiskinan. Kebanyakan mangsa berasal daripada keluarga yang miskin dan mempunyai banyak tanggungan. Kedaifan hidup yang dihadapi, memaksa mereka untuk mencari kerja bagi menampung kehidupan keluarga namun peluang pekerjaan yang semakin terhad menjadikan mereka terdesak untuk mendapatkan pekerjaan sehingga mereka termakan dengan kata-kata para pedagang manusia yang menjanjikan pekerjaan dengan gaji yang lumayan kepada mereka.
          Faktor lainnya ialah faktor permintaan global terhadap perkhidmatan dan buruh murah. Kemunculan dunia tanpa sempadan dengan adanya internet mengakibatkan pemerdagangan manusia semakin menjadi-jadi. Hal ini demikian kerana melalui internet, kumpulan-kumpulan jenayah ini boleh merekrut, memasarkan dan mengeksploitasi mangsa-mangsa perdagangan dengan mudah di seluruh dunia di samping mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Hal ini secara tidak langsung telah meningkatkan kes pemerdagangan manusia di dunia. 
           
                     Kesan-Kesan Pemerdagangan Manusia

Isu pemerdagangan manusia mendatangkan banyak kesan termasuk pada masyarakat, negara malahan pada diri mangsa sendiri. Kesan pemerdagangan manusia pada masyarakat ialah masyarakat sejagat hidup dalam belenggu kerisauan kerana keselamatan diri dan keluarga terdedah dengan ancaman. Kesan lainnya ialah masalah sosial meningkat dalam masyarakat kerana jenayah pelacuran semakin berleluasa kerana kebanyakan mangsa dijadikan hamba seks.
Selain daripada itu, keselamatan negara terancam ekoran banyak kemasukan warga asing yang diseludup dan didagangkan. Di samping itu, nama baik negara terjejas kerana berlaku banyak jenayah yang melibatkan mangsa pemerdagangan malahan pelancong dari negara luar berkurangan kerana mereka berasa tidak selamat. Pertumbuhan ekonomi negara juga akan terganggu apabila banyak wang digunakan untuk membendung isu pemerdagangan manusia daripada terus meningkat.

                      Langkah untuk Mengatasi Pemerdagangan Manusia

         Realitinya, banyak langkah boleh diambil untuk mengatasi isu ini dengan kerjsama semua pihak. Antara langkahnya ialah kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengetatkan kawalan kemasukan pelancong asing serta mengawal semua 262 pintu masuk ke sempadan negara yang dipercayai antara penyumbang kepada pemerdagangan manusia. Selain itu, kerjasama yang kukuh antara Malaysia dengan negara-negara jiran adalah amat penting untuk menjamin keselamatan negara yang lebih baik.

        Langkah seterusnya ialah gejala rasuah yang berlaku di badan-badan penguat kuasa seperti imigresen, kastam dan organisasi lain perlu dibanteras sepenuhnya. Dengan mansuhnya gejala rasuah ini, isu pemerdagangan manusia di Malaysia dapat dikurangkan dan diatasi.